Hentikan Penghinaan Ke Atas Mereka Yang Daif Dan Miskin!

Cium tanganku ini – Timbalan Menteri Hal Ehwal Agama Islam sedang berlagak pemurah di hadapan kamera

Ahli-ahli politik terkemuka di Sarawak kelihatan terbiasa dengan tabiat memperagakan betapa penyayangnya mereka semasa menyampaikan pemberian wang dan cek-cek kepada golongan miskin dalam masyarakat.

Kini jarang sekali kita dapati bahawa akhbar-akhbar tempatan tidak melaporkan “golongan miskin dan daif” menerima ‘belas kasihan’ dari individu-individu yang mewah, yang ingin dilihat oleh dunia betapa ‘murahnya hati’ mereka.
Sarawak Report ingin membantah sikap ini, bahawa ianya merupakan suatu kesalahan dan dosa memperagakan golongan miskin dan kurang bernasib baik itu di khalayak umum.

Sampai hati ahli-ahli politik mengambil kesempatan ke atas golongan yang serba kekurangan ini dengan menghina mereka di hadapan kamera, sambil menyambut pemberian-pemberian sama ada berbentuk wang, makanan, cek-cek bantuan ataupun tangki untuk menadah air hujan.

Sungguh tiada maruah bagi pihak-pihak tertentu memasuki ruang rehat yang menempatkan mereka yang sakit dan tidak bermaya dengan menunjuk-nunjukkan belas kasihan bersandarkan keagamaan.

Sampai hati individu-individu ternama ini dan juga organisasi keagamaan mengabaikan maruah orang-orang awam, yang sedang berehat dalam privasi, dengan mempersembahkan masalah mereka pada masyarakat dunia dan menunjukkan mereka seperti haiwan zoo tanpa menghormati hak-hak privasi berkaitan masalah yang mereka hadapi.

Pemberian-pemberian ini yang dilakukan di hadapan kamera sering diadakan bersandarkan nama agama. Namun, semua agama mengesali tindakan membesar-besarkan kerja-kerja kebajikan secara keterlaluan dan dilakukan secara melulu.

Senyum untuk kamera atau anda mungkin tidak akan mendapat pemberian ini – helah biasa Daud Abdul Rahman

Pemberian untuk mereka yang memerlukannya harus digalakkan, namun tindakan itu harus dilakukan secara senyap-senyap.

Tindakan-tindakan itu tidak harus ditunjuk-tunjukkan kerana sebaliknya ianya akan memperkecil-kecilkan si penerimanya.

Pemberian itu merangkumi pemberian wang yang datangnya dari mana-mana individu ataupun kerajaan negeri.
Ahli-ahli politik di Sarawak sememangnya gemar menunjuk-nunjuk diri mereka di khalayak ramai dengan mengeluarkan pemberian-pemberian berkebajikan. Namun bila lagi mereka menggunakan wang dari saku mereka sendiri?

Sebenarnya, pemberian dan sumbangan yang mereka hulurkan kepada orang-orang yang memerlukannya adalah hasil kutipan dari kalangan masyarakat itu sendiri, bukanya wang dari saku mereka sendiri.

Tunduklah dan berterima kasih kepada Daud Abdul Rahman – kita di hadapan jurugambar sekarang

Wang pemberian dan sumbangan ini adalah sama ada wang dari dana awam, yang mana ahli-ahli politik BN gemar menghulurkannya di kawasan pilihanraya masing-masing, seolah-olah mereka membantu secara peribadi, untuk membeli undi.

Atau, pemberian dan sumbangan yang mereka hulurkan itu dari dana agama Islam tempatan.

Khasnya Timbalan Menteri Hal Ehwal Agama Islam Sarawak, Daud Abdul Rahman dan bosnya Ketua Menteri sering diambil gambar semasa mengulurkan ‘keikhlasan’ mereka, menggunakan wang yang dikutip dari awam menerusi cukai-cukai Islam.

Sejak tahun 2001 Taib telah mengeluarkan sebuah ordinan meletakkan semua kutipan yang dijana dari cukai-cukai Islam di bawah tabung Baitulmal dan melantik Daud Abdul Rahman untuk menaungi dana tersebut.

Pertubuhan Baitulmal ini telah menjadi lebih agrsif dalam tuntutan mereka untuk kutipan ‘sukarela’ dan di awal bulan ini semua YB Muslim dalam kabinet Taib merupakan antara mereka yang mendapat durian runtuk setelah gaji mereka dinaikkan tiga kali ganda dan sebahagiannya dipotong untuk disumbangkan ke dalam tabung pertubuhan itu.

Lawatan dari pegawai Baitulmal – pandanglah kamera sebagai tanda kesyukuran anda atas penerimaan ini

Kini ramai di kalangan kakitangan awal yang beragama Islam akan dipotong sebahagian dari gaji mereka untuk disumbangkan ke dalam tabung itu.

Di samping itu Daud juga telah berpendirian agresif terhadap “mereka yang berdosa”, yang dia anggap harus mempunyai rasa bertanggungjawab dalam peranannya sebagai Menteri Hal Ehwal Islam Sarawak.

Kerajaan Sarawak kini telah secara ketara menghukum para penganutnya yang tidak berpuasa di bulan Ramadhan (lebih banyak kutipan dimasukkan ke dalam tabung itu) dan Daud berkata dia akan memalukan orang-orang Islam menggunakan media di masa depan – berbalik pada tema kegemarannya untuk memperagakan pemberian dan sumbangan menggunakan wang yang dikutip dari pendapatan orang awam.

Namun, kerana Baitulmal tetap enggan bersikap terbuka atau menerbitkan akaun-akaun mereka, adalah terlalu sukar untuk kita mengetahui berapa banyakkah sumbangan Daud atau Ketua Menteri yang menjadi sebahagian dari penyumbang dana untuk dihulurkan kepada golongan miskin yang memerlukanya.

Lagipun, Sarawak Report telah melaporkan bahawa syarikat Easbourne Corporation milik Daud Abdul Rahman telah menerima kontrak-kontrak awam bernilai hampir satu billion ringgit suatu ketika dahulu.

Bersandarkan hakikat bahawa dia merupakan Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Sarawak merupakan sebuah negeri yang dicemari rasuah, hakikat ini tidaklah mengejutkan sesiapa. Namun dengan menaungi Kementerian Hal Ehwal Islam Sarawak, dia harus dapat membuktikan kepada kita jika dia benar-benar telah menyumbangkan 9% dari keuntungan syarikatnya!

Bersyukurlah dengan pendidikan peringkat kolej anda – tidak ramai pelajar Sarawak yang berjaya sampai ke peringkat ini, walaupun Sarawak berjaya meraih berbillion-billion ringgit keuntungan dari pembalakan, minyak, dan kelapa sawit

Laman web Baitulmal Taib Mahmud dipenuhi gambar-gambar foto penyaluran sumbangan-sumbangan kepada golongan yang amat memerlukannya. Pemberian dan sumbangan itu harus disalurkan secara berbudi-bicara dan penuh simpati untuk memperbaiki kehidupan mereka yang memerlukannya, bukan dijadikan bahan untuk dipertontonkan kepada umum untuk kepentingan orang-orang politik sahaja.

Berapakah agaknya harga kenderaan milik kementerian itu berbanding dengan sumbangan yang terdapat dalam sampul itu?

Sememangnya, ini adalah publisiti murahan bagi mana-mana ahli politik melakukannya bersandarkan wang sumbangan orang ramai.

Pendedahan paling buruk berkaitan tindakan merendah-rendahkan golongan miskin dan daif menerusi sebuah filem rencana terbitan Global Witness yang mendedahkan kegiatan rampasan tanah yang dilakukan ahli-ahli keluarga Taib.

Dalam filem itu dua orang sepupu Ketua Menteri telah dirakam secara terbuka mencemuh orang-orang tempatan Sarawak yang miskin dan daif dalam cubaan mereka menjual tanah pusaka kepada sebuah syarikat asing.
Menerusi filem itu, sepupu pertama Taib, Fatimah Abdul Rahman telah menuduh pemilik-pemilik tanah yang dia rampas, sebagai penipu. Menurutnya lagi orang-orang tempatan itu adalah terlalu miskin dan daif sehingga menyebabkan mereka sering mengharapkan sesuatu daripada ‘pemimpin’ mereka. Saudaranya, Norlia Abdul Rahman pula dipetik sebagai menuduh orang-orang tempatan pemilik tanah itu sebagai “golongan setinggan”.

Mengambil kesempatan atas orang-orang miskin dan daif – namun kerakusan ‘pemimpin-pemimpin’ ini yang telah mengakibatkan kemiskinan menimpa orang-orang tempatan ini

Suatu ketika dahulu, pasangan adik-beradik anak kepada Abdul Rahman Ya’kub itu telah menjana pendapatan menggunakan tanah-tanah pusaka kaum-kaum asli Dayak, mungkinkah mereka ingin diambil gambar foto semasa menghulurkan paket-paket mi segera kepada mangsa-mangsa rampasan tanah mereka?

Pandang kea rah kamera – orang awam ingin menyaksikan kesengsaraan anda apabila saya menghulurkan wang dari Baitulmal ini

Kerana, semua ahli politik yang menghulurkan wang sumbangan dalam bungkusan yang kecil-kecil itu telah sebenarnya merampas sumber bernilai berbillion-billion ringgit dari orang-orang Sarawak
Sumber-sumber asli sedemikian seharusnya dapat menghindari mereka dari menjadi miskin.

Jika kekayaan Sarawak telah diuruskan secara bijak dan betul dan untuk kepentingan rakyatnya, sudah tentu tiada pihak yang mendiami negeri itu harus keluar meminta makanan.

Hanya kerana kecurian yang dilakukan oleh Taib dan ahli-ahli keluarganya dan juga kroni-kroni mereka, maka kebuluran wujud di negeri yang kaya dengan sumber asli itu.

Bagi setiap cek yang kecil nilainya yang dihulurkan oleh Ketua Menteri itu, Abdul Taib Mahmud telah secara senyap-senyap merompak dari orang-orang yang dihinanya.

Ahli-ahli politik berbaris untuk mendapatkan pujian kerana turut bersama menghulurkan bungkusan-bungkusan kecil dari amaun hasil rompakan yang besar yang telah dicuri dari tanah mereka. Para menteri seperti Awang Tengah sering mengharapkan diri dipilih semula setiap kali diadakan pilihanraya!

Sila lihat persembahan slaid [di bawah] gambar-gambar foto golongan miskin yang disuruh beratur di hadapan para oportunis politik dalam laman-laman web mereka dan juga di akhbar-akhbar.

Bukanlah sesuatu sumbangan kebajikan untuk mengambil gambar foto orang-orang yang sengsara untuk dipertontonkan buat khalayak ramai

Negeri Sarawak tidak kekurangan orang-orang miskin, daif dan sengsara untuk dipertontonkan kepada umum dan juga masyarakat dunia. Golongan ibu tunggal dirakamkan ketika menerima sumbangan berbentuk makanan atau cek, pesakit-pesakit yang tenat yang tidak berupaya bangun, pesakit-pesakit di hospital, mangsa-mangsa kebakaran terpaksa mengukir senyuman ketika menerima bantuan bekalan makanan. Semua ini bagi membolehkan ahli-ahli politik membeli sokongan undi yang datangnya dari rakyat sendiri, bukanya mereka.

Pemimpin-pemimpin di Sarawak harus menghentikan penghinaan ke atas golongan yang miskin, daif dan sengsara ini.

Want to get alerts for new articles ? see our Subscribe page

Your views are valuable to us, but Sarawak Report kindly requests that comments be deposited in suitable language and do not support racism or violence or we will be forced to withdraw them from the site.

Comments

comments